Geran Kongsi Pemilikan Bersama

Tanah geran kongsi pemilikan bersama bermaksud tanah yang dimiliki oleh banyak pemilik (penama) dalam geran. Dan setiap pemilik mempunyai bahagian masing masing yang dinyatakan dengan jelas dalam geran. Di bawah saya tunjukkan contoh geran kongsi berserta penama dan setiap bahagian yang diperoleh.

 

 

 

Tanah geran kongsi dengan pemilikan bersama boleh dipindah milik kepada nama pembeli jika mereka beli mana-mana bahagian daripada bahagian penama tadi. Ini adalah kerana bahagianya jelas dinyatakan dalam geran.

 

Kelemahan Geran Kongsi Pemilikan Bersama:

 

 

Tak semua benda elok dikongsi. Sebagai contoh, Geran Pertanian dengan Pemilikan Kongsi terdapat kekurangan seperti:

 

Keluasan dan Kedudukan Sebenar Tidak Dapat Ditentukan Dengan Jelas

Keluasan dan kedudukan sebenar bahagian tanah anda tidak dapat ditentukan dengan jelas dalam geran. Disebabkan geran masih berkongsi dan masih belum dipecahkan kepada geran individu maka sukar untuk anggarkan keluasan dan kedudukan sebenar bahagian tanah. Rekod di geran hanya meletakkan pecahan bahagian pemilik bukan kedudukan tanah yang tepat.

 Had Pembinaan Rumah Yang Dibenarkan

Bagi tanah pertanian, hanya dibenarkan sebuah rumah/ bangunan sahaja boleh didirikan di atas satu ekar tanah. Satu rumah tersebut dibenarkan bertujuan untuk menjaga tanah kebun semata-mata. Syarat lain adalah keluasan rumah tidak boleh melebihi 1/5 dari keluasan tanah tersebut. Maka akan jadi perebutan siapakah pemilik yang dibenarkan untuk membuat rumah di atas tanah geran kongsi. Jika ada 5 pemilik nak bina 5 rumah masing-masing pun tak boleh. Undang-undang tak benarkan.

 

Urusan Jual Beli Hanya Boleh Dilakukan Secara Tunai

Jika mahu jualkan tanah tersebut, perlu mencari pembeli yang mampu beli secara tunai. Tiada bank yang sanggup ambil risiko untuk bagi pinjaman bagi pembelian tanah geran kongsi.

 

Bank tidak menerima Geran Kongsi Untuk Dicagarkan

Anda tidak boleh gadaikan tanah kepada bank. Jika bank sanggup terima, perlu persetujuan secara bertulis dari semua pemilik. Awas!! Jika pinjaman atas gadaian gagal dijelaskan keseluruhan tanah tersebut akan dilelong.

 

Geran Asal Dikongsi Secara Beramai Antara Semua Pemilik

Hanya satu geran dikeluarkan dan terpaksa dikongsi bersama kesemua pemilik tanah. Jika ada salah seorang pemilik ingin menjualkan tanah, urusan pindah milik perlu dilakukan dengan mendapatkan geran asal daripada pemilik yang pegang geran tersebut. Maka akan berlaku kesulitan untuk mendapatkan geran tersebut jika pemegang geran enggan bagi kerjasama.

 

Pandangan Saya Berkenaan Tanah Pertanian Dengan Geran Kongsi Pemilikan Bersama

 

 

1. Saya tak galakkan bina rumah atas geran kongsi walaupun pakai duit sendiri secara tunai.Sebabnya, bila lain kali atas apa apa sebab contohnya terdesak jika nak pakai wang perlu cari pembeli yang mampu beli secara tunai. Bayangkan jika kita habiskan beratus ribu dan nak jualkan rumah tersebut beserta tanah dengan harga 300 ribu. Siapa yang mampu beli secara tunai?.

2. Jika keluasan tanah bawah satu ekar, sebelum geran tanah pertanian boleh dipecahkan kepada geran individu, perlu tukarkan status tanah kepada tanah bangunan kediaman. Nak tukar status tanah perlu keluar modal. Semua pemilik sanggup ke nak keluar duit. Nak pecahkan tanah kepada geran individu pun perlukan modal. Persoalan yang sama. Ada yang boleh setuju dan sanggup keluarkan modal ke.

3. Pendapat saya, jika ada pilihan jualkan sahaja tanah geran kongsi pemilikan dan beli sahaja tanah lain yang sudah mempunyai geran individu.

 

 

Pengalaman Menjualkan Tanah Geran Kongsi Milik Sendiri 

 

 

  • Arwah ayah ada meninggalkan tanah pusaka “sekangkang kera” kepada kami adik beradik. Tanah status pertanian dengan geran kongsi bersama pemilik lain. Anggaran keluasan tanah yang saya warisi adalah 11,000 kaki persegi lebih kurang 1/4 ekar. Tanah tersebut adalah tanah berhampiran sawah dan perlu ditambun jika ingin membina rumah. Kekurangan lain tanah adalah kawasan sentiasa banjir bila musim tengkujuh.

 

  • Untuk pembelian rumah keempat, saya ambil keputusan untuk jualkan tanah pusaka tersebut. Ini adalah kerana bagi pembelian rumah keempat secara kasar saya perlukan modal lebih kurang 35% dari harga rumah yang ingin dibeli. Saya beli rumah berharga RM185K. Harga beli adalah RM40K bawah harga pasaran. Selepas kira-kira kasar kos yang diperlukan sebanyak RM44K.

 

  • Bagi saya yang bekerja sebagai kuli makan gaji, wang sebanyak RM44K agak besar serta perlukan tempoh masa yang lama untuk dikumpul. Saya bercadang untuk jualkan tanah pusaka tersebut demi hasrat untuk tidak lagi menyewa di Kuantan Pahang.

 

  • Antara cabaran semasa penjualan tanah pusaka geran kongsi tersebut adalah untuk mencari geran asal. Masalah datang bila pemegang geran tiada di Malaysia atas urusan kerja serta tidak bercadang untuk balik dalam masa terdekat. Argh..Sudah….Tiada siapa yang tahu letaknya geran tersebut. Aktiviti untuk jualkan tanah tersebut tertangguh dalam masa 2 minggu selepas akhirnya pemegang geran dapat dihubungi dan geran dapat ditemui.

 

  • Masalah kedua adalah untuk mengukur keluasan sebenar tanah tersebut. Walaupun sempadan tanah telah bertanda. AWAS!!! Jangan percaya sangat. Kerana sempadan tersebut adalah agak-agak atau berdasarkan jual beli mulut orang-orang tua zaman dahulu.

 

  • Nak dipendekkan cerita, tanah dapat dijualkan dan penama baru dapat didaftarkan ke atas geran. Alhamdulillah saya pun telah selesai memiliki rumah keempat. Walaupun ada desas desus mengatakan rugi saya jual tanah tersebut, tetapi saya tetap berpegang pada keputusan saya untuk menjualkan tanah tersebut.

 

  • Ini adalah kerana saya jualkan tanah tersebut untuk pembelian rumah yang didiami sekarang. Status geran rumah saya adalah geran individu bukan geran kongsi. Saya tak perlu menyewa dan perbezaan harga pasaran sekarang vs harga beli dah sama dengan harga tanah yang dijual. Dan yang terkahir disebabkan deposit yang tinggi, komitmen bulanan rumah saya masih rendah dengan hanya RM740 sebulan hampir sama dengan bayaran sewa pada tahun 2016.

 

 

Open chat
1
intaihartanah.com
Hai, Saya Aisyah. Boleh saya bantu anda?