Beli Rumah Sub Sale
Beli rumah sub sale merupakan matlamat bagi sesetengah orang. Rumah yang selesa dan baik adalah menjadi idaman bagi setiap orang untuk diduduki bersama keluarga keluarga tercinta. Untuk membeli rumah idaman ini memerlukan beberapa proses penting yang perlu diambil tahu oleh anda. Ini penting bagi mengelakkan anda terpedaya atau mengalami kerugian. Di sini kami kongsikan panduan untuk beli rumah Sub Sale atau rumah second.
Ada orang lebih selesa beli rumah sub sale kerana tidak perlu menunggu terlalu lama seperti rumah baru yang tempohnya bertahun-tahun.
Jika rezeki baik, dapat rumah siap renovated cantik-cantik dah. Sebab itu ada orang yang menyasarkan untuk membeli rumah sub sale.
Langkah 1 : Sediakan bajet anda untuk beli rumah sub sale.
Beli rumah sub sale ini usah ikut hawa nafsu atau ikut orang. Sebaliknya ia mesti berlandaskan kemampuan kewangan anda agar ianya tidak menimbulkan masalah di masa hadapan. Hanya anda tahu tentang kedudukan kewangan anda sendiri.
- Jumlah pendapatan anda ada berapa banyak?
- Berapa wang tunai anda ada?
- Bayaran bulanan pinjaman anda mampu bayar.
- Berapa jumlah wang dalam akaun 2 KWSP anda?
- Komitmen bulanan anda mampu bayar.
- Berapa banyak belanja anda?
Anda mesti kira betul-betul bajet dan kedudukan kewangan anda dengan betul sebelum membuat keputusan untuk membeli rumah. Jangan main agak-agak je ye. Angan-angan itu indah, teteapi realiti itu tidak seindah angan-angan.
Langkah 2 : Kira Kelayakan Pembiayaan Bank Anda sebelum beli rumah sub sale
Bila sudah tahu kedudukan kewangan anda, kira pula kelayakan yang anda layak untuk memohon pinjaman. Kena tahu berapa banyak bank akan bagi anda pinjaman berdasarkan kedudukan semasa kewangan anda.
Tak susah pun nak kira. Anda pergi je bank dan jumpa pegawai yang terlibat dengan bahagian pinjaman perumahan. jangan lupa bawa sekali anda punya slip gaji dan penyata akaun bank untuk mudahkan lagi urusan tersebut.
Jika anda tak punya masa nak pergi jumpa pegawai bank, anda boleh mohon bantuan Perunding Hartanah Berdaftar untuk bantu mudahkan urusan anda. Perunding hartanah ni dia ada networking dengan ramai pegawai bank.
Apabila sudah tahu berapa jumlah amaun pinjaman anda layak, maka lebih mudah untuk anda mencari rumah yang sesuai dengan kelayakan anda. Tidak lah anda membuang masa nanti kan.
Selain itu, jangan lupa untuk check laporan CCRIS anda. Jika anda tidak membayar pinjaman PTPTN anda sebelum ini, ianya akan direkod dalam CCRIS dan ia membuatkan rekod CCRIS anda tidak cantik.
Bank akan merujuk kepada rekod CCRIS sebelum memberikan kelulusan kepada anda. Jika rekod CCRIS anda tidak cantik, maka bank tidak akan memberikan anda pinjaman.
Nak check senang je. Anda boleh pergi ke pejabat AKPK berhampiran dan minta bantuan pegawai terbabit. Kejap je prosesnya sebab ia hanya menggunakan kiosk sahaja. Jangan lupa bawa kad pengenalan anda.
Langkah 3 : Cari Rumah Idaman
Mulakan proses mencari rumah idaman anda yang sesuai dengan kelayakan anda. Anda boleh cari di internet seperti medium berikut :
- mudah.my
- propertyguru.com.my
- carousell.com.my
- marketplace di facebook
- dll
Selain itu, boleh juga bertanya kepada kenalan anda. Mana tahu mereka ada nak jual rumah atau rakan mereka. Kita tak tahu rezeki rumah kita di mana. Jadi, manfaatkan setiap peluang yang ada.
Untuk lebih mudah, anda juga boleh minta bantuan dari Perunding Hartanah Berdaftar. Just beritahu mereka bajet dan kehendak anda tentang rumah idaman anda. Nanti mereka akan bantu carikan rumah mengikut kehendak anda. Biasanya mereka ada sediakan borang maklumat untuk mudahkan anda sampaikan kehendak anda.
Anda boleh pilih rumah seperti berikut :
- Kategori Rumah
- Malay Reserved
- Bumi Lot
- Non Bumi Lot
- Open Title
- Jenis Rumah
- Teres
- Semi-D
- Banglo
- Corner Lot
- End Lot
- Dll
- Status Rumah
- Freehold
- Leasehold
- Lokasi Rumah
- Balok
- Beserah
- Indera Mahkota
- Dll
Apabila anda menemui rumah sub sale yang berkenan di hati, anda perlu pertimbangkan beberapa perkara berikut :
- Jarak rumah dan tempat kerja
- Keadaan lalu lintas ke tempat kerja
- Banjir ke tidak
- Persekitaran kejiranan
- Kemudahan yang berhampiran
- Kondisi rumah. Ada kerosakan tak
- Siapa jiran sebelah rumah
Langkah 4 : Proses Jual Beli rumah sub sale
Apabila anda sudah buat keputusan untuk beli rumah sub sale, anda perlu bayar booking sebagai bayaran tanda jadi. Jumlahnya bergantung kepada persetujuan bersama. Jika anda membeli melalui ejen hartanah, biasanya bayaran dikenakan adalah sebanyak 3.18% daripada harga rumah. Namun begitu, anda masih boleh berbincang lanjut dengan ejen hartanah tersebut.
Jika anda membeli terus dari owner, bayaran booking ini berdasarkan persetujuan bersama. Anda jangan bayar terus kepada owner ye. Mesti bayar melalui peguam. Ianya untuk mengelakkan anda dari kesulitan di kemudian hari.
Sekiranya anda beli melalui ejen hartanah, pastikan bayaran dibuat ke akaun syarikat. Bukan akaun persendirian ejen tersebut. Setiap ejen hartanah yang berdaftar pasti bernaung di bawah syarikat yang berdaftar.
Pastikan anda membaca dan memahami dahulu terma sebelum tandatangan borang booking anda.
Apabila bayaran booking sudah dibuat, anda boleh mula membuat permohonan pinjaman dari bank. Jika menggunakan ejen hartanah, anda tak perlu risau kerana mereka akan bantu uruskan bagi pihak anda. Anda hanya perlu sediakan dokumen yang berkenaan sahaja. Begitu juga dengan peguam, mereka bantu uruskan bagi pihak anda.
Jika pinjaman anda tidak diluluskan oleh pihak bank, anda akan menerima semula bayaran booking anda 100%. Sebab itu penting anda bayar booking menggunakan saluran yang betul.
Biasanya proses kelulusan pinjaman anda mengambil masa sekitar 14-21 hari bergantung kepada keadaan tertentu. Apabila loan lulus, anda akan dipanggil oleh pihak bank untuk tandatangan surat tawaran pinjaman.
Apabila kelulusan sudah diperolehi, peguam akan menyiapkan dokumen perjanjian jual beli (SPA). Biasanya dalam seminggu sudah siap untuk ditandatangi. Ianya bergantung kepada kepantasan peguam itu buat kerja. Ejen hartanah yang baik akan sentiasa follow up peguam bagi pihak anda.
Pada waktu ini juga anda perlu bayar baki deposit yangtelah ditetapkan. Anda juga boleh bayar menggunakan duit dari akaun 2 KWSP dengan persetujuan owner. Boleh baca panduan keluarkan duit akaun2 KWSP untuk lebih mudah.
Langkah 5 : Tunggu Terima Kunci Rumah Dengan Sabar
Selepas anda tandatangan perjanjian jual beli, biasanya ianya mengambil masa 3-4 bulan sebelum urusan selesai jika tiada sebarang halangan. Secara kasar, anda akan memperolehi kunci selepas 4-6 bulan daripada tarikh anda membayar booking. Kenalah bersabar ye. Beli rumah ni bukan macam beli sayur di pasar. Ia ada proses-proses yang mesti dilalui satu persatu.