“Nok Bangkit Asal” Kisah Saya Ibarat Lagu Dikir Barat
Nok bangkit asal. Lagu yang kena dengan kisah hidup saya. Kisah seorang budak miskin anak petani boleh masuk universiti untuk ubah taraf hidup. “Lahir dalam kemiskinan bukan satu kesalahan. Menjadikan kemiskinan sebagai satu alasan untuk tidak berjaya adalah kesalahan besar.
Kehidupan saya waktu kecil amat pahit untuk diharungi tapi cukup manis untuk dikenang. Dilahirkan dalam keluarga miskin. Mak Ayah bekerja sebagai petani. Seingat saya sejak dari kecil lagi ayah kerap sakit. Kenangan dengan ayah tak banyak, ayah pergi tinggalkan kami sewaktu umur saya 6 tahun. Masih cukup kerdil untuk kenal erti kesusahan.Sudah jatuh ditimpa tangga. Kini tinggal mek seorang untuk membesarkan kami lima beradik. Gaji mek tak banyak. Berbekalkan gaji Rm600 sebulan hasil kerja di kilang tembakau untuk menyara kami enam beranak.
Gaji mek yang hanya cukup-cukup makan. Hanya mampu jadi sumber rezeki kami untuk bulan satu hingga bulan sepuluh. Kebiasaannya kilang tembakau tutup 2 bulan (iaitu bulan November dan December) disebabkan musim hujan atau tengkujuh.Dua bulan tanpa sumber pendapatan. Camne kami sekeluarga boleh survive. Keluarga petani macam kami bukannya ada simpanan kecemasan. Bahkan untuk ada simpanan Rm1000 cukup mustahahil. Maka pelbagai kerja terpaksa dibuat. Dengan kudrat mek yang tak seberapa, tenaga dan kudrat dikorbankan demi untuk menyara hidup. Terima kasih mek. Jasa dan pengorbananmu amat besar tak mampu kami balas.
Sikap bekerja untuk cari wang dipupuk sewaktu saya masih di sekolah rendah lagi. Saya pernah ikut mek ambil upah cuci botol budu demi untuk meneruskan kehidupan. Ibarat kais pagi makan pagi, kais petang makan petang begitulah peritnya kehidupan selepas kematian arwah ayah. Bau sisa botol yang tengik dah sebati. Pekerjaan basuh botol budu bukanlah masyuk. Cuma itulah antara pilihan yang kami ada. Saya tak malu untuk laksanakan pekerjaan ini walaupun bergeluman dengan air kotordan bau tengik yang diakhiri dengan kulit gatal-gatal.
Kebiasaannya, bulan Januari amat tenat bagi kami. Kepayahan untuk mencari rezeki pada dua bulan musim tengkujuh dikusutkan lagi dengan keperluan untuk naik sekolah. Bulan Januari banyak wang nak pakai untuk peralatan serta yuran sekolah. Maka terpasalah mek tebalkan muka untuk berhutang dengan sedara-mara yang terdekat. Selalunya hanya beberapa kerat sangat yang mampu tolong kami dengan beri pinjaman. Terima kasih kepada sedara mara yang ada sewaktu kami susah dahulu.
Ibarat lirik dikir nak bangkit asal “Ooooooooooooo?? Tak dok warih nye diri ambo….Ooooooooooooooo?? Demo tokse kelih, walau sebelah mata. Sedara mara yang jauh- jauh terutama sebelah arwah ayah makin menjauh. Arwah ayah berasal dari Kampung Sri Tujoh, Tumpat, Kelantan. Namun sampai sekarang saya tidak kenal walau seorang saudara dari sana. Mungkin sebab kami orang miskin. Maka tiada siapa yang sanggup mengaku sebagai ahli keluarga.
Bila kita dibawah, tak akan terlepas dengan pandangan serong. Masih ingat lagi abang dituduh mencuri ayam jiran. Maka keluarlah kata-kata yang tidak elok. Dipendekkan cerita, sebenarnya orang lain yang mencuri. Hasil siasatan orang kampung, penjual nasi berlauk yang jadi saksi. Ada budak nakal lain yang jual ayam curi tersebut.
Lahir dalam keluarga miskin menjadikan saya cepat matang. Semasa disekolah ada beberapa perkara bila diingati balik buat diri ini kagum perbuatan sendiri:
- Kisah Pertama: Hari sukan sekolah makin dekat. Cikgu kelas ingatkan murid-murid untuk minta duit baju sukan dengan mak ayah. Tampa berfikir panjang terus keluar dari mulut kepada cikgu tiada duit. Padahal saya ajukan pun berkenaan baju sukan serta tak minta pun duit. Alhamdulillah. Mungkin rezeki saya, dapat baju sukan percuma hasil ehsan cikgu yang baik hati.
- Kisah Kedua: Cikgu kelas bagitau ada lawatan sambil belajar. Sudoh doh la. Mana nak cari duit. Saya hanya buat senyap tak bagitau kepada mek. Kawan-kawan pergi lawatan ke Kota Baru tinggalah saya disekolah berseorangan.
KEPUTUSAN CEMERLANG DALAM PEPERIKSAAN
Mungkin rezeki saya, diberikan peluang untuk perbaiki kehidupan serta keluar dari kepompong kemiskinan dengan pelajaran. Peperiksaan UPSR Alhamdulillah saya dapat keputusan 5A. Menjadi sebutan orang kampung serta menjadi teladan untuk dicontohi. Anak yatim miskin berjaya mendapatkan keputusan yang cemerlang dalam peperiksaa. Tersohor sekejap mek saya anak boleh result comel. Nak dijadikan cerita dapat masuk ke MRSM Pasir Tumboh.
Anak nak masuk sekolah asrama penuh. Bukan sedikit perbelanjaan mak ayah kena tanggung. Mek saya sekali lagi tebalkan muka buang rasa malu sebab perlu berhutang nak hantar anak ke sekolah berasrama penuh. Masih segar dalam ingatan serta tak boleh dilupakan sampai bila-bila, orang cakap tiada duit tak payah la hantar anak pergi sekolah jauh-jauh. Cukup hanya bersekolah di sekolah harian. Terima kasih kasih mek, saya tekad belajar bersungguh-sungguh.
Masuk tingkatan 5, saya semakin rajin belajar. Nak dipendekkan cerita, keputusan percubaan saya cemerlang. Rezeki saya, dapat biasiswa MARA dibawah Skim Pelajar Cemerlang (SPC) untuk sambung belajar di Universiti Teknologi Petronas (UTP). Orang yang paling gembira adalah mek. Satu-satunya anak dia boleh ke menara gading. Betapa gembiranya mek sampaikan sampul surat tawaran belajar, mek rebut dari tangan dan terus buka. Orang lain anak nak masuk universiti, mak ayah gadai emas dan jual tanah. Murah rezeki kami. Pendaftaran ke UTP hanya perlu bayar yuran pendaftaran sebanyak Rm800++. Itupun yuran pendaftaran dipulangkan balik.
Terima kasih MARA untuk biasiswa sepanjang 5 tahun sepanjang saya belajar di UTP. Semua perbelanjaan yuran, penginapan dan elaun sara hidup dibiayai MARA. Tugas saya, hanya perlu fokus belajar sahaja. 5 tahun berlalu. Segulung ijazah diterima. Walaupun hanya kepujian kelas kedua atas, saya tetap berpuas hati.
Terima kasih cikgu-cikgu dan pensyarah-pensyarah kerana sudi ajar budak hingusan macam saya. Saya hormat sanjung segala kasih segala budi. Mintak halal segala ilmu yang cikgu bagi selamo maso sepanjang pembelajaran. Di tapak kaki guru saya tunduk mintak redha.Segulung ijazah dihadiahkan kepada mek. Yang selalu beri semangat untuk berjaya.Alhamdulillah loni ambe jadi ore.